CEO@Faculty Programme

YAB Perdana Menteri semasa Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) pada 7 April 2015 telah menyampaikan watikah pelantikan kepada 15 orang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang akan mengambil bahagian dalam CEO Faculty Programme (CFP). Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga tidak terkecuali dalam penganjuran program tersebut. CEO yang dilantik untuk UniSZA ialah Ketua Pegawai Eksekutif Prestariang Berhad iaitu Dr. Abu Hasan Ismail. 
Pewujudan CFP ini adalah berlandaskan kepada Fasa 1: Membina Momentum dan Meletakkan Asas yang dijajarkan pelaksanaaannya pada tahun 2015 bagi mendukung pelaksanaan kedua-dua pelan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas menengah) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu ’melancarkan program pemimpin industri/pengarah urusan syarikat atau kepimpinan kanan sektor awam untuk pengajaran dan pembelajaran IPT’. 
Di samping itu, antara inisiatif utama lonjakan ke-2 Kecemerlangan bakat di dalam PPPM 2015-2025 (PT) adalah menggalakkan IPT untuk membangunkan empat laluan kerjaya dan salah satunya yang berkait secara langsung kepada CFP adalah pengamal profesional. Pelaksanaan CFP adalah selama dua tahun dan akan bermula secara rasmi pada Semester 1 Sesi 2015-2016 (September 2015) dan berakhir pada Semester 2 Sesi 2016-2017. 
Objektif pelaksanaan CEO@Faculty Programme yang telah diadakan pada 30 November 2015 bertempat di Dewan Perdana, kampus Gong Badak adalah bagi membolehkan tokoh-tokoh industri yang berwibawa bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam memperkasakan sistem pendidikan tinggi negara.
Seramai 700 peserta yang telah menghadiri program ini yang terdiri daripada wakil ahli Lembaga Pengarah UniSZA, wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, Timbalan-timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) bagi 20 universiti awam, pegawai-pegawai fokal, wakil politeknik dan kolej swasta sekitar negeri Terengganu, pensyarah dan pelajar UniSZA.
Program ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi kuliah kepada 98 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian), Fakulti Informatik dan Komputeran yang bertajuk "Developing Big Ideas and Entrepreneurship in ICT". Sesi kedua diteruskan dengan syarahan umum yang bertajuk Penglibatan Pelajar Universiti dalam Technopreneurship.
Pelaksanaan program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan pastinya dapat mencapai objektif yang digariskan.

ceo 1ceo 3 ceo 8ceo 20 ceo 29