Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) merupakan 100% hak milik Kementerian Pendidikan Malaysia, yang dipengerusi oleh Dato’ Zuraidah Atan. Dalam ucapan beliau di majlis perasmian "YSS adalah bertujuan bagi membentuk Ikon Sukarelawan / Sukarelawan Global. Untuk mencapai matlamat, YSS melalui misi sukarelawannya, akan menggalakkan, mendidik dan membimbing para pelajar dalam gerakan sukarela untuk mempromosikan dunia yang damai dan memupuk semangat kemahuan melalui penglibatan masyarakat di dalam dan luar negara.
Sekalung tahniah buat mahasiswa/i yang mewakili Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK), UniSZA iaitu Noor Syafiqah binti Mohd Zainurin dan Mohd Izran Iskandar bin Rusli kerana telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang sepanjang misi ini. Ucapan penghargaan juga turut diberikan kepada Pengerusi YSS iaitu Dato’ Zuraidah Atan, Ahli Lembaga Pengarah YSS, dan staf YSS kerana memberi ruang kepada mahasiswi FIK untuk menyertai misi kali ini sebagai alumni. Seterusnya penghargaan buat Dekan Fakulti Informatik & Komputeran (FIK), Prof. Madya Dr. Syadiah Nor Wan Shamsuddin kerana telah memberi galakkan dan peluang kepada mahasiswi untuk menyertai misi selama satu bulan ini bermula pada 11 Julai sehingga 15 Ogos 2018.
Misi kali ini telah dihadiri dan disertai dengan pelbagai latar belakang pendidikan, Universiti Awam (UA), Universiti Swasta (US), Politeknik dan IPG. Alhamdulilah, dengan perbezaan latar belakang pendidikan ini semua alumni saling melengkapi dalam menjayakan misi kali ini. Seramai 53 sukarelawan Siswa yang terpilih dan misi kali ini menggabungkan sukarelawan Malaysia bersama sukarelawan di Vietnam iaitu “Mua He Xanh” yang bermaksud Green Summer. Penglibatan 12 sukarelawan siswa Malaysia bersama sukarelawan Vietnam seramai 13 orang telah ditempatkan di Hiep Phuoc Commune, Nha Be District. “YSS telah memberi peluang kepada kami semua dalam usaha untuk membuat perubahan, membantu dan menyumbangkan sesuatu kepada penduduk Hiep Phuoc Commune, Nha Be District,” kata Noor Syafiqah.
Selain itu, YSS mempunyai 6 kluster iaitu Kluster Pendidikan, Kluster Pembangunan Komuniti, Kluster Kesihatan, Kluster Agribio & Alam Sekitar, Kluster ICT & Keusahawanan, dan Kluster Pengurusan Krisis & Bencana.
Sikap perpaduan yang dipupuk dalam diri setiap peserta menjadikan mereka sungguh bersemangat untuk meneruskan misi. Peserta yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa telah bersatu dan saling melengkapi antara satu sama lain. Mereka turut diajar dan dilatih untuk bersatu tanpa mengira bangsa, agama dan perbezaan latar belakang. Menurut Noor Syafiqah lagi, “projek utama kumpulan kami di sana adalah pembinaan jalan dan itu merupakan satu pengalaman yang sangat menarik buat saya dan sukarelawan yang lain.” Tambahannya lagi, “YSS telah memberi peluang kepada saya, seorang mahasiswa dalam jurusan Media, untuk memperluaskan lagi ilmu dan kemahiran sepanjang misi dan ini merupakan pengalaman baru buat diri saya”. Antara keperluan misi, peserta diarahkan bagi melengkapi keenam-enam kluster. Jadi, antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah wall painting, membaikpulih gelanggang badminton, mencantikkan kawasan kantin, mengadakan business class bersama komuniti, mini garden, medical check-up dan sebagainya.
Misi kali ini telah membuka mata dan minda peserta untuk tidak fokus hanya dalam satu bidang sahaja. Malah, banyak perkara yang telah dipelajari dan pengalamana ini tidak mungkin akan diperolehi di mana-mana. Di samping itu, YSS telah memberi peluang kepada peserta untuk menyumbang ilmu kepada komuniti. Melalui Kluster Pendidikan, peserta telah bekerjasama dengan pihak sekolah dalam mendidik melalui aktiviti fun learning, ICT dan kesihatan bersama pelajar di sekolah rendah Nguyen Van Tao, Nha Be District. Dalam merealisasikan misi kali ini, peserta sangat kagum dengan budaya yang ditonjolkan oleh penduduk Hiep Phuoc Commune dan pihak sekolah. Mereka memupukkan satu budaya yang sangat positif yang dapat dicontohi oleh kalangan peserta. Antaranya ialah cara mereka melayan dan menyambut tetamu. Mereka sangat meraikan tetamu dan telah memudahkan semua satu urusan peserta. Hal ini kerana, semangat sukarelawan bukan hanya perlu ada pada sukarelawan mahasiswa, malah ia perlu dipupuk pada segenap lapisan masyarakat. Syukur, penduduk Hiep Phuoc memberi kerjasama dan penerimaan yang amat menggalakkan. Peranan peserta sebagai agen perubahan yang memberi kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan kesukarelawanan.
Dalam melahirkan sukarelawan yang berperingkat global, peserta juga turut diajar untuk bersikap profesional dalam bekerja, belajar menyampaikan maklumat bersama data integriti, mencari jawapan dalam masalah secara kritis. Dalam ingin menjadi sukarelawan yang berperingkat global juga, kita harus sentiasa berfikiran positif dan menyebarkan aura positif buat sekeliling.
Akhir kata, penghargaan sekali lagi kepada Pengerusi YSS iaitu Dato’ Zuraidah Atan, Ahli Lembaga Pengarah YSS, dan staf YSS atas ilmu, pengalaman dan kenangan yang amat bermakna kepada semua peserta. Semoga aktiviti seperti ini dapat melahirkan mahasiswa/i yang cemerlang, berintegriti dalam misi melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di peringkat global.