
Satu program perkongsian ICT anjuran kursus CSF11503 Social and Professional Ethics bagi Semester 2, Sesi 2024 2025 bagi guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila telah diadakan pada Rabu, 18 Jun 2025 bertempat di Makmal Multimedia, Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK). Program bertajuk “AI in the Classroom : An Easy and Effective Approach to Teaching and Learning Using Canva” telah dihadiri oleh 35 orang guru, termasuk beberapa orang staf pentadbiran sekolah.
Objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar kursus ini untuk menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti yang berasaskan "knowledge transfer" (pemindahan ilmu) dan "experiential education" (pembelajaran berasaskan pengalaman) bagi memenuhi objektif pembelajaran kursus. Di samping itu juga, tujuannya adalah untuk merealisasikan misi dan visi universiti untuk melahirkan mahasiswa yang bersifat holistik serta cemerlang dari segi akademik dan penglibatan komuniti luar.
Menariknya program perkongsian bersama komuniti pada kali dilaksanakan oleh seorang pelajar tunggal bagi kursus ini iaitu Anis Zulaikha binti Abdul Ghafar (pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Internet)) dengan diselaras oleh pensyarah, Dr. Hasni bt. Hassan yang juga merangkap Ketua Jawatankuasa Lestari FIK dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Lestari FIK lain yang terdiri daripada tujuh orang pensyarah, semua staf pentadiran fakulti serta 3 orang kakitangan Unit Fasiliti dan Teknikal (UFT) FIK. Sepanjang program berjalan, sebahagian pensyarah bertindak sebagai fasilitator bagi melancarkan proses pembelajaran. Berdasarkan tinjauan awal yang dilakukan di kalangan guru SMK Tembila, tiada guru pernah menggunakan Canva sebagai alat untuk membangunkan laman web. Oleh itu, pelaksanaan program ini dikira tepat pada masanya kerana dengan menggunakan kaedah kecerdasan buatan, para guru tidak perlu mempunyai asas pengaturcaraan bagi membangunkan laman web untuk kegunaan subjek masing-masing.
Selain daripada mempromosikan FIK dan UniSZA kepada komuniti, adalah diharapkan agar program sebegini dapat mengeratkan hubungan antara UniSZA dengan komuniti luar serta membuka ruang bagi kerjasama yang lebih luas di masa-masa akan datang.
Bagaikan serampang dua mata, program ini bukan sahaja membantu mencapai objektif kursus malahan ianya juga menyumbang kepada kelestarian ilmu pembelajaran sepanjang hayat kepada para peserta. Di pihak Jawatankuasa Kelestarian FIK, program ini menjadi titik tolak kepada sumbangan kami kepada jangkauan komuniti yang lebih luas di masa akan datang. Terima kasih diucapkan kepada Dekan FIK serta pengurusan fakulti, Pengetua SMK Tembila dan semua pihak yang menyokong program ini. Moga ilmu yang dikongsi sepanjang program ini bermanfaat, demi faedah insan sejagat.

