NAMA PROGRAM : IT4U : KNOWLEDGE TRANSFER PROGRAMME - ARTIFICIAL INTELLIGENCE (AI) AND ROBOTIC
ANJURAN : PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUTERAN (PMFIK) DENGAN KERJASAMA FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUTERAN (FIK)
TARIKH : 1 JULAI 2025
TEMPAT : FAKULTI INFORMATIK & KOMPUTERAN

Pada 1 Julai 2025 bersamaan 24 Zulhijjah 1446H telah berlangsungnya satu program yang bertempat di Makmal Multimedia Fakulti Informatik dan Komputeran iaitu IT4U: Knowledge Transfer Programme – Artificial Intelligence (AI) And Robotic yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Informatik dan Komputeran (PMFIK) kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (PTNC HEPA), Kelab RoboPro, Kelab CoDEX, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah Besut (PPD Besut), MakersLab, East Competence Centre (ECCC) serta Persatuan Alumni Fakulti Informatik dan Komputeran. Penglibatan program ini melibatkan seramai 40 orang guru daripada sekolah menengah sekitar daerah Besut yang hadir bagi mendapatkan pendedahan mendalam tentang teknologi kecerdasan buatan dalam bidang pendidikan. Turut hadir dalam program ini sebagai panel fasilitator iaitu Dr Ong Yew Chuan, Ts. Norkhairani binti Abdul Rawi, Ts. Dr. Normala binti Rahim dan Encik Mohd Sufian bin Mat Deris yang juga merupakan pensyarah Fakulti Informatik dan Komputeran yang berpengalaman luas dalam bidang AI. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memperkasakan para pendidik dengan kemahiran menggunakan AI secara praktikal dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Program ini memainkan peranan penting dalam membantu guru memahami potensi teknologi kecerdasan buatan, merancang pengajaran yang lebih interaktif, dan membina keyakinan diri untuk memanfaatkan AI dalam bilik darjah secara lebih sistematik.
Program ini dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta pada pukul 8:00 pagi dan diteruskan dengan slot pertama iaitu Mastering Core Artificial Intelligence Thinking. Slot kedua pula ialah Practical Teaching with Generative AI yang memberi peluang kepada peserta menghasilkan bahan pengajaran seperti nota, slaid, dan handout menggunakan alat AI generatif. Selepas rehat tengah hari, slot ketiga Teaching with Super Practical AI Tools telah memperkenalkan pelbagai aplikasi AI yang boleh dimanfaatkan dalam pengajaran harian. Seterusnya, slot terakhir Create Your AI-Powered Teaching Plan memberi ruang kepada peserta untuk merancang dan membentangkan pelan pengajaran masing-masing.
Sesi penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan turut diadakan kepada 10 buah sekolah yang terlibat. Penyampaian telah disempurnakan oleh Tuan Muhd Aliziyad bin Abbas, Pegawai Pendidikan Daerah Besut, diiringi Dr Wan Mohamad Rizhan bin Wan Idris, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Program bersurai pada pukul 5:30 petang.






