NAMA PROGRAM :METAVERSE 101 : CREATING YOUR FIRST VIRTUAL SPACE
ANJURAN :PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUTERAN (PMFIK)
DENGAN KERJASAMA :FAKULTI INFORMATIK & KOMPUTERAN (FIK), PERSATUAN ALUMNI FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUTERAN (PAFIK),
FAKULTAS TEKNOLOGI DAN INFORMATIKA (FTI), DAN UNIBI FAKULTAS KEGURUAN ILMU PENDIDIKAN,
PENDIDIKAN ILMU TEKNOLOGI (FKIP), UMTAS, HUNTER STUDIO.
TARIKH :21 JULAI 2025
TEMPAT :BILIK UDH (UniSZA DIGITAL HUB), INKUBATOR LAB & MICROSOFT TEAMS

Persatuan Mahasiswa Fakulti Informatik dan Komputeran (PMFIK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Fakultas Teknologi Dan Informatika (FTI), Universitas Informatika dan Bisnis Indonesia (UNIBI) dan Fakultas Keguruan Dan Ilmu Pendidikan, Pendidikan Ilmu Teknologi (FKIP), Universitas Muhammadiyah Tasikmalaya (UMTAS) telah berjaya menganjurkan program Metaverse 101: Creating Your First Virtual Space yang berlangsung dengan jayanya baru-baru ini. Program intensif sehari ini menarik penyertaan lebih 20 mahasiswa yang berminat untuk mendalami teknologi metaverse terkini. Program yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu menawarkan pengalaman pembelajaran interaktif tentang asas-asas penciptaan ruang maya. Peserta diperkenalkan dengan pelbagai platform metaverse popular seperti Spatial.io dan Decentraland, serta alat pembangunan 3D seperti Blender dan Unity. Sesi hands-on membolehkan peserta mempraktikkan pengetahuan mereka dengan membina ruang virtual asas secara berkumpulan. "Kami ingin mahasiswa tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta kandungan digital," ujar Cik Anandashrubini A/P Seevagan, Pengarah Program Metaverse 101: Creating Your First Virtual Space. Beliau menambah bahawa kemahiran metaverse semakin kritikal dalam pasaran kerja masa kini.
Majlis penutupan program berlangsung meriah pada pukul 4.00 petang di Auditorium Fakulti Informatik dan Komputeran, UniSZA. Acara bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan Indonesia Raya serta bacaan doa, diikuti ucapan alu-aluan daripada Pengarah Program. Yang Berbahagia Prof. Madya. Dr. Mohamed Afendee bin Mohamed, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan), Fakulti Informatik dan Komputeran, UniSZA dalam ucapannya menekankan, "Program seumpama ini penting untuk mempersiapkan mahasiswa menghadapi revolusi industri 4.0 yang berteraskan teknologi digital." Turut hadir memberi sokongan adalah Dr. Nur Alamsyah selaku Pensyarah Fakultas Teknologi dan Informatika (FTI), Universitas Informatika dan Bisnis Indonesia (UNIBI) dan Dr. Maesaroh Lubis selaku Dekan, Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Pendidikan Ilmu Teknologi (FKIP), Universitas Muhammadiyah Tasikmalaya (UMTAS) yang bersama-sama menyaksikan kemajuan peserta sepanjang program. Acara kemuncak menyaksikan sesi bergambar kenangan bersama para tetamu kehormat.
Dengan kejayaan program perintis ini, pihak penganjur berhasrat untuk mengembangkan inisiatif serupa pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar dan kerjasama antarabangsa yang lebih meluas. Program ini bukan sekadar memberi pendedahan teknologi, tetapi turut membuka minda mahasiswa terhadap potensi ekonomi digital masa depan. Sebagai penutup, majlis berakhir pada pukul 5.30 petang dengan harapan agar kolaborasi seumpama ini dapat diteruskan untuk melahirkan lebih banyak bakat digital tempatan yang berdaya saing di peringkat global.




