NAMA PROGRAM :EXPLORING ART AND CULTURE ACROSS BORDERS THROUGH METAVERSE (EXACAB)
ANJURAN :PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUTERAN (PMFIK)
DENGAN KERJASAMA :FAKULTI INFORMATIK & KOMPUTERAN (FIK), PERSATUAN ALUMNI FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUTERAN (PAFIK),
FAKULTAS TEKNOLOGI DAN INFORMATIKA (FTI), UNIBI FAKULTAS KEGURUAN DAN ILMU PENDIDIKAN, PENDIDIKAN ILMU TEKNOLOGI (FKIP), UMTAS,
NEONSKY INTERACTIVE ENTERPRISE.
TARIKH :21 JULAI 2025 (ISNIN)
TEMPAT :BILIK UDH (UniSZA DIGITAL HUB), MAKERS LAB & MICROSOFT TEAMS

Dalam satu langkah progresif memartabatkan warisan budaya melalui teknologi digital, Persatuan Mahasiswa Fakulti Informatik dan Komputeran (PMFIK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Fakultas Teknologi Dan Informatika (FTI), Universitas Informatika dan Bisnis Indonesia (UNIBI) dan Fakultas Keguruan Dan Ilmu Pendidikan, Pendidikan Ilmu Teknologi (FKIP), Universitas Muhammadiyah Tasikmalaya (UMTAS) telah menganjurkan program Exploring Arts and Culture Across Borders Through Metaverse (EXACAB) dengan jayanya. Program ini berlangsung selama satu hari di Bilik UDH (Unisza Digital Hub), Makers Lab telah berjaya menarik penyertaan lebih 45 peserta terdiri daripada pelajar ketiga-tiga buah universiti. Program bermula seawal jam 9.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta. Kemudian, program dimulakan dengan program yang bertajuk Cultural Odyssey: A Virtual Tour of Ethnic Heritage. Program ini telah membawa peserta dalam pengembaraan maya yang memukau, menghidupkan semula warisan negara Malaysia seperti budaya Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun dan Iban serta negara Indonesia seperti Papua, Sunda, Sasak, Jawa dan Dayak melalui paparan visual 3D yang interaktif.
Majlis penutupan yang gilang-gemilang diadakan di Auditorium FIK bermula jam 4.00 petang. Acara dimulakan dengan tayangan video gimik sepanjang program sebelum ketibaan tetamu kehormat yang disambut dengan protokol penuh. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Indonesia Raya yang penuh khidmat dan bacaan doa oleh wakil pelajar. YBrs. Prof. Madya. Dr. Mohamed Afendee bin Mohamed, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan), Fakulti Informatik dan Komputeran, UniSZA dalam ucapan menekankan, "Program EXACAB ini bukan sekadar aktiviti akademik biasa, tetapi merupakan platform revolusioner yang menyatukan teknologi terkini dengan warisan tradisional kita." Beliau turut mengumumkan rancangan universiti untuk mengembangkan program ini ke peringkat antarabangsa tahun hadapan. Pengarah Program, Anandashrubini A/P Seevagan dalam ucapan penghargaannya menyatakan, "Kejayaan program ini membuktikan betapa teknologi metaverse boleh menjadi jambatan antara generasi muda dengan khazanah budaya yang semakin dilupakan." Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan yang meriah, menandakan berakhirnya program pada pukul 5.30 petang. Program EXACAB 2025 ini telah berjaya mencatat beberapa pencapaian penting seperti kejayaan dalam melancaran platform digital warisan budaya Malaysia dalam metaverse Latihan praktikal kepada 30 peserta dalam teknologi 3D dan realiti maya Jaringan kolaborasi dengan tiga universiti antarabangsa Penghasilan 30 artifak budaya digital yang akan dipamerkan secara maya.
Dengan tema "Memelihara Warisan, Meneroka Masa Depan", program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif serupa yang menyatukan teknologi dan kebudayaan untuk generasi akan datang.




