NAMA PROGRAM :𝑴𝑨𝑱𝑳𝑰𝑺 𝑷𝑬𝑹𝑨𝑺𝑴𝑰𝑨𝑵 𝑳𝑨𝑴𝑨𝑵 𝑳𝑬𝑺𝑻𝑨𝑹𝑰 𝑭𝑰𝑲 𝑪𝑬𝑻𝑼𝑺 𝑺𝑬𝑴𝑨𝑵𝑮𝑨𝑻 𝑲𝑬𝑳𝑬𝑺𝑻𝑨𝑹𝑰𝑨𝑵 𝑾𝑨𝑹𝑮𝑨 𝑭𝑨𝑲𝑼𝑳𝑻𝑰
ANJURAN :AJK LESTARI FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUITERAN
TARIKH :07 OCTOBER 2025 (SELASA)
TEMPAT :LAMAN LESTARI FAKULTI INFORMATIK DAN KOMPUTERAN

Bertemakan “Bersama Mendokong Kelestarian UniSZA”, majlis yang diadakan pada jam 12.30 tengah hari itu telah disertai oleh barisan staf akademik dan pentadbiran FIK. Majlis telah dirasmikan oleh Dekan FIK, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Khalid bin Awang, yang turut menyempurnakan gimik perasmian serta penandaan rasmi papan tanda Laman Lestari FIK di pintu masuk laman tersebut.
Sejak beberapa bulan yang lalu, pelbagai aktiviti berkonsepkan kelestarian telah digerakkan, antaranya siri gotong-royong, dengan kemuncaknya ialah Gotong-Royong Perdana Laman Lestari FIK yang melibatkan penyertaan menyeluruh warga fakulti. Aktiviti yang dijalankan termasuk pembinaan pagar daripada kayu ‘pallet’ terpakai, mengecat tayar sebagai elemen landskap dan asas tanaman, serta penghasilan pasu tanaman menggunakan tong sabun dan botol plastik terpakai.
Menariknya, setiap tanaman yang terdapat di laman ini dilengkapi dengan papan tanda yang mempunyai kod QR. Kod ini boleh diimbas oleh pengunjung untuk mendapatkan maklumat seperti nama pokok, gambar serta khasiat atau kegunaannya.
Penambahbaikan landskap dan infrastruktur laman turut dijalankan secara berperingkat, menggambarkan komitmen berterusan FIK terhadap pemeliharaan alam sekitar. Perancangan masa depan Laman Lestari termasuklah penggunaan teknologi *IoT dalam pertanian*, penambahan variasi tanaman, serta pembangunan ruang santai interaktif untuk kegunaan staf dan pelajar fakulti.
Program anjuran Jawatankuasa Lestari FIK ini bukan sahaja memperkukuh usaha ke arah kampus hijau, bahkan menyemai kesedaran lestari secara kolektif. Ia juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diterapkan oleh universiti. Semoga usaha murni ini terus subur dan menjadi contoh inspirasi kepada fakulti lain dalam memperkasa kelestarian kampus secara holistik.



