3 Januari 2026 — Program Capture The Flag (CTF) anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Informatik & Komputeran, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Kelab Teknologi Maklumat (SST), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berjaya dilaksanakan pada 2 hingga 3 Januari 2026 bertempat di Kampus Besut, UniSZA.
Program ini melibatkan seramai 45 orang mahasiswa/i, terdiri daripada 27 peserta dari UniSZA dan 18 peserta dari UMK. Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai cabaran berkaitan keselamatan sistem dan keselamatan siber, dengan bimbingan empat orang pensyarah dari Fakulti Informatik & Komputeran, iaitu: Dr. Nazirah binti Abd. Hamid, Dr. Siti Dhalila binti Mohd Satar, Dr. Norhidayah binti Muhammad dan Puan Roslinda binti Muda.
Acara kemuncak program ialah Pertandingan Capture The Flag (CTF) yang berlangsung selama tiga jam, di mana para peserta berpeluang mengaplikasikan ilmu serta mempamerkan kemahiran teknikal, pemikiran kritikal dan kerjasama berpasukan dalam menyelesaikan cabaran yang diberikan. Penganjuran program ini dilihat mampu memberikan pengalaman praktikal serta pendedahan awal kepada dunia keselamatan siber yang semakin berkembang dan mencabar.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan graduan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam bidang keselamatan siber dan teknologi digital.


