“Tak Kenal Maka Tak Cinta”. Itulah ungkapan peribahasa yang sesuai menggambarkan mengenai lawatan 82 orang pelajar Asasi Sains Pusat Asasi Sains & Perubatan UniSZA (PUSPA) bersama 3 orang pensyarah pengiring ke Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK). Lawatan tersebut telah disambut di Dataran FIK pada 27 Februari 2019, pada jam 9.00 pagi oleh 3 orang staf mewakili Pejabat Pengarah Kampus Besut dan 2 orang wakil daripada FIK sendiri.
Rombongan pelajar tersebut telah dibawa terus ke Dewan Auditorium, FIK bagi menghadiri sesi taklimat mengenai FIK yang telah disampaikan oleh Ketua Pusat Pengajian Multimedia, Pn. Maizan binti Mat Amin dan Penyelaras Pusat Pengajian Teknologi Maklumat, Pn. Norlina binti Udin. Antara intipati taklimat adalah penerangan secara khusus tentang kursus yang ditawarkan di FIK berserta laluan kerjaya dan peluang pekerjaan yang akan ditempuhi mereka setelah bergelar graduan. Sepanjang sesi taklimat berlangsung, pelajar-pelajar tersebut amat teruja dengan pelbagai kemudahan teknologi yang dipaparkan menerusi slide pembentangan tersebut.
Seusai selesai sesi taklimat, rombongan pelajar tersebut telah dibawa melawat beberapa makmal komputer di FIK. Keterujaan mereka makin terserlah apabila dibawa melawat ke dua(2) buah studio di FIK iaitu Studio Fotografi dan Studio Audio. Turut menyatakan kekaguman mereka apabila melangkah masuk ke Makmal Teknologi Maklumat 3 iaitu makmal yang menempatkan 30 unit iMac yang berdefinasi tinggi.
Selesai lawatan, rombongan pelajar melakarkan gambar kenangan bersama-sama staf dan pensyarah mereka di FIK. Semoga perjalanan pengajian mereka dapat diteruskan di Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK) dan semoga diberi kejayaan buat mereka menempuhi semester terakhir asasi di Pusat Asasi Sains & Perubatan UniSZA (PUSPA).